top of page

HAK PENGGUNA ADALAH HAK YANG DILINDUNGI: Gelang emas berlian Patah Dua Kali. Tribunal Tuntutan Pengguna Perlis Arahkan Habib Jewels Bayar Balik Penuh serta pampasan

Kenyataan Akhbar


PERLIS | 27 April 2026




Prof Dr Samihah Khalil
Prof Dr Samihah Khalil

Seorang pengguna dari Perlis telah berjaya menuntut keadilan selepas mengalami kerosakan berulang terhadap sebuah gelang emas berlian yang dibelinya di salah sebuah cawangan Habib Jewels di ibukota Kuala Lumpur.


Profesor Dr. Samihah Khalil, yang juga mantan pensyarah, telah membeli gelang emas berlian tersebut untuk dipakai sempena sambutan Hari Raya. Pada peringkat awal, gelang berkenaan kelihatan cantik, berkilau dan diyakini berkualiti tinggi, selaras dengan reputasi jenama tersebut. Beliau menyatakan rasa sangat gembira dengan pembelian berkenaan.


Namun, selepas hanya beberapa kali dipakai, gelang emas berlian tersebut didapati patah. Gelang tersebut kemudiannya dihantar untuk dibaiki, dan Dr. Samihah terkejut apabila dikenakan caj pembaikan. Tidak lama selepas dibaiki dan digunakan semula, gelang yang sama patah buat kali kedua. Kejadian ini menjadi antara punca utama ketidakpuasan hati beliau, memandangkan masa dan usaha terpaksa dicurahkan untuk membawa gelang tersebut ke kedai bagi pembaikan kali kedua.

“Sepatutnya gelang emas berlian yang dijual tidak mudah patah kerana ia diperbuat daripada emas, iaitu logam yang sepatutnya cukup kukuh,” ujar beliau.


Berikutan kali kedua beliau terpaksa membayar caj pembaikan, dan selepas cubaan berbincang dengan wakil Habib Jewels gagal mencapai penyelesaian yang memuaskan, Profesor Samihah akhirnya mengambil keputusan membawa perkara ini ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kangar bagi menuntut bayaran balik dan pampasan.


“Dengan bantuan nasihat daripada seorang rakan saya seorang peguam di negeri Sabah, Dato’ Sri K. Rakhbir Singh, saya mengambil keputusan untuk memfailkan tuntutan tersebut di pejabat TTPM di Kangar,” kata beliau.


Selepas kes didengar, Tribunal Tuntutan Pengguna Perlis telah membuat keputusan seperti berikut:


• Habib Jewels diarahkan membuat bayaran balik penuh harga gelang emas berlian berkenaan;

• Bayaran penuh caj pembaikan hendaklah dikembalikan kepada pengguna; dan

• Pampasan kos perjalanan kepada pengguna turut diperintahkan.


Profesor Samihah menyatakan kepuasan terhadap keputusan tribunal tersebut kerana beliau berjaya memperoleh semula bayaran penuh, kos pembaikan serta pampasan yang sewajarnya.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan saya, Dato’ Sri Rakhbir Singh, yang telah memberi nasihat sejak peringkat awal untuk memastikan borang tuntutan diisi dengan sepenuhnya untuk memudahkan Tribunal membuat keputusan,” ujar beliau.


“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana telah menyediakan kemudahan Tribunal Tuntutan Pengguna di negeri Perlis. Kos untuk memfailkan borang tuntutan hanyalah RM5 sahaja dan bayaran pos secara berdaftar kepada Syarikat penjual.


Demi kemudahan rakyat, saya juga menggalakkan pihak KPDN mempertimbangkan penyediaan khidmat penasihat, termasuk peguam atau pegawai terlatih, bagi membantu pengguna mengisi borang tuntutan dengan lebih mudah dan tepat, khususnya bagi golongan warga emas dan mereka yang kurang arif tentang prosedur perundangan.”

Gelang emas berlian patah kali kedua
Gelang emas berlian patah kali kedua

Satu saluran tindakan yang wajar untuk menangani masalah tersebut

Sebagai seorang wanita, Profesor Dr. Samihah berkongsi pengalaman beliau bagi menggalakkan pengguna lain — khususnya golongan wanita dan warga emas — supaya berani tampil membuat tuntutan sekiranya berdepan dengan situasi yang menjejaskan hak mereka sebagai pengguna.


“Dalam kes saya, selepas saya menulis kepada pihak Habib Jewels, mereka masih enggan membayar pampasan walaupun saya telah pergi ke cawangan Habib Jewels di Kuala Lumpur untuk membolehkan gelang tersebut diperiksa oleh pakar mereka. Keperluan ini jelas melibatkan kos serta masa,” jelas beliau.


Menurut Profesor Dr. Samihah, dalam keadaan seperti ini kebanyakan pengguna sudah pun berputus asa. Namun begitu, beliau memilih untuk terus bertegas menuntut hak yang wajar.


“Gelang emas berlian yang saya beli diperbuat daripada emas tulen dan seharusnya tidak mudah patah. Penjual juga sepatutnya mengambil kembali gelang tersebut tanpa membebankan pengguna dengan pelbagai kerumitan serta perbelanjaan tambahan,” katanya.


Beliau turut memaklumkan bahawa atas nasihat peguam, Dato’ Sri K. Rakhbir Singh, beliau telah membuat tuntutan pampasan termasuk kos perjalanan sebanyak dua kali berulang alik ke cawangan Habib Jewels.


“Tuntutan ini juga diterima oleh pihak Tribunal kerana ianya munasabah,” kata beliau.

Profesor Dr. Samihah menegaskan bahawa pihak penjual perlu memahami bahawa barang kemas berbentuk emas dibeli untuk dipakai dengan selamat dan tahan lama, bukannya untuk dibaiki berulang kali.


“Daripada pengalaman saya ini, saya ingin menasihatkan para pengguna agar tidak berdiam diri apabila hak mereka terjejas. Undang‑undang perlindungan pengguna wujud, dan saluran seperti Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) telah disediakan untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.


Dikeluarkan oleh:

Profesor Dr. Samihah Khalil

25 April 2026

Comments


bottom of page